SEGALA YANG AKU TULIS DI SINI HANYALAH PENDAPAT PERIBADI AKU. JANGAN DIPUTARKAN.. SEGALA RESPOND KEPADA BLOG INI ADALAH DI ATAS TANGGUNGJAWAB SENDIRI
SELAMAT DATANG
TERUSKAN MELEKAT! HARI-HARI MAU SENSASI DAN KEBENARAN UNTUK MALAYSIA SECARA JUJUR DAN IKHLAS
Wednesday, April 28, 2010
Tips Untuk Para Pencari Kerja : Rezeki Halal Ada Di Mana-Mana
KEGAWATAN ekonomi sekarang menyaksikan ramai yang dibuang kerja. Sehingga 29 Januari lalu, seramai 10,000 orang telah diberhentikan. Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal iaitu sekitar 4,000 orang yang akan dibuang kerja dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Walaupun ada usaha di pihak kerajaan untuk mendapatkan semula pekerjaan bagi mereka yang kehilangan mata pencarian ini, namun pastinya tidak semua daripada mereka akan mendapat kerja baru.
Justeru, sebagai warga negara yang memahami kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan, kita tidak sepatutnya mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini. Kita juga boleh berusaha sendiri demi mencari rezeki yang halal untuk menanggung diri dan keluarga.
Islam menuntut umatnya supaya bekerja mencari rezeki. Sekiranya seseorang itu gagal mendapat kerja “makan gaji”, dia perlulah berusaha sendiri. Perkara ini disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: “Jika kamu keluar (bekerja) pada waktu pagi dengan membawa kayu api untuk dijual (bagi mendapatkan rezeki) di pasar adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada seseorang, sama ada orang itu memberi atau tidak, tidak akan memberi berkat kepada kamu. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat Muslim).
Bila memperkatakan mengenai berusaha sendiri, ramai yang melihat perniagaan sebagai satu sumber pendapatan. Benar, ramai yang berniaga untuk mencari rezeki. Walaupun ramai yang mengimpikan untuk memiliki perniagaan bernilai jutaan ringgit, namun perniagaan secara kecil-kecilan juga mampu memberi rezeki kepada kita.
Seorang anak muda yang memiliki gerai burger pernah memberitahu penulis bahawa secara purata, dia berjaya menjual 100 bungkus burger dari 7 petang hingga 12 tengah malam. Penulis pun mencongak sendiri. Jika sebungkus burger memberinya keuntungan sebanyak 50 sen, dia akan mendapat RM50 sehari atau RM1,500 sebulan.
Itu belum dikira apa yang boleh dibuat oleh anak muda tersebut untuk menjana pendapatan di siang hari ketika gerai burgernya itu masih belum dibuka.
Penjual sate keropok lekor di luar kawasan sekolah anak penulis pula memaklumkan, dia boleh mendapat RM100 sehari dengan menjual sate dari sebuah sekolah ke sebuah sekolah lain.
Benarlah bahawa berniaga kecil-kecilan itu mampu menampung hidup mereka yang menceburinya. Berniaga untuk menjadi kaya-raya pula, adalah perkara yang berbeza.
Bagaimanapun, berusaha sendiri tidak terhad kepada berniaga makanan atau barangan semata-mata. Kita juga boleh menjual khidmat tenaga dan kepakaran kepada pelanggan. Malah, ia merupakan satu bentuk perniagaan yang lebih baik kerana ia tidak memerlukan modal tinggi dan tiada risiko kerosakan pada barangan yang hendak dijual. Kemahiran, kepakaran dan tenaga empat kerat adalah modalnya.
Kebanyakan suami isteri yang bekerja dan tidak mempunyai pembantu rumah, mengupah pencuci pejabat – yang terdiri daripada warga asing – untuk membersihkan rumah pada hujung minggu.
Biasanya, untuk sebuah rumah upahnya ialah RM50. Dalam sebulan ada lapan hari Sabtu dan Ahad. Ini bermaksud, seorang pencuci pejabat yang rajin boleh mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM400 sebulan.
Seorang bekas pekerja kilang yang baru diberhentikan mungkin tidak teruja dengan jumlah gaji sebanyak ini. Namun, pendapatan sebanyak RM400 dengan bekerja hanya lapan hari sebulan adalah sesuatu yang lumayan. Banyak lagi yang boleh diusahakan pada baki 20 hari dalam masa sebulan itu.
Begitu juga, mereka yang ada rumput di halaman rumah tentu tahu betapa mahalnya upah untuk memotong rumput. Ini bermakna bidang itu juga ada potensi untuk diceburi. Tambahan pula ,rumput tidak pernah berhenti tumbuh sama ada suasana ekonomi gawat ataupun tidak.
Betul, ia memerlukan sedikit modal asas untuk membeli mesin pemotong rumput. Namun jika rajin, ia boleh menjadi sumber rezeki yang memuaskan.
Bahan buangan juga boleh memberi rezeki kepada kita. Seorang kenalan penulis mencari pendapatan tambahan dengan mengitar semula botol-botol plastik. Hasil jualannya itu kadangkala mencecah RM200 sebulan. Walaupun gajinya mencukupi untuk menanggung keluarganya, namun secara peribadi, beliau merasakan tiada salahnya untuk menambah pendapatan dengan cara sedemikian.
Jelas bahawa rezeki halal ada di mana-mana dan bukannya di dalam pejabat yang berhawa dingin semata-mata. Soalnya, apakah kita mahu mencarinya dengan apa cara sekalipun atau mahu menunggu rezeki itu datang bergolek?
Ia juga banyak bergantung kepada cara kita melihat peluang-peluang yang terbuka luas itu. Sekiranya kita melihatnya sebagai satu cara mencari rezeki halal yang dituntut agama, kita akan melihatnya sebagai satu peluang.
Sebaliknya, jika kita melihat usaha-usaha tadi sebagai pekerjaan yang memenatkan, tidak menjana banyak wang dan menjatuhkan air muka dan maruah, maka ia bukanlah pilihan sesuai untuk kita. Tetapi, tepuk dada, tanya selera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment